To achieve the highest level of professionalism among Islamic Finance practitioners

Block B1-3-1,

Solaris Dutamas

9:00 AM - 6:00 PM

Monday to Friday

Pemerkasaan Maqasid al-Syariah dalam Kewangan Islam

Pemerkasaan Maqasid al-Syariah dalam Kewangan Islam

oleh Dr Shamsiah binti Mohamad

Pendahuluan

Maqasid al-Syariah sudah menjadi topik perbincangan utama dalam industri kewangan Islam mutakhir ini. Hal ini menjadi petunjuk positif bahawa pihak-pihak yang terlibat dalam industri kewangan Islam sentiasa berusaha membuat penambahbaikan terhadap produk dan perkhidmatan dalam kewangan Islam dari masa ke semasa.

Apa itu Maqasid al-Syariah?

Perkataan Maqasid al-Syariah terdiri daripada dua perkataan iaitu maqasid dan Syariah. Maqasid adalah perkataan Arab yang merupakan jamak untuk perkataan maqsad yang bermaksud tujuan atau objektif. Bila digabungkan kedua-dua perkataan tersebut menjadi Maqasid al-Syariah, ia boleh diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia sebagai Objektif Syariah.  Dalam lain perkataan, Maqasid Syariah merujuk kepada  tujuan atau objektif yang ingin dicapai daripada pensyariatan hukum hakam syarak.

Justeru, apa tujuan dan objektif pensyariatan hukum Syarak? Untuk memudahkan kefahaman, tujuan utama pensyariatan hukum Syarak adalah untuk mendatangkan kebaikan dan mengelak daripada kerosakan ( جلب المصالح ودرء المفاسد). Sebagai contoh, pengharaman arak adalah untuk menjaga akal manusia. Penjagaan akal ini merupakan suatu yang boleh membawa kebaikan kepada individu berkenaan dan juga masyarakat sekelilingnya dan juga boleh mengelak keburukan atau bencana daripada menimpa mereka dan orang di sekeliling. Bayangkan jika seorang yang meminum arak dan memandu kereta; arak tersebut bukan sahaja boleh merosakkan akalnya tetapi akan membahayakan keselamatan beliau dan orang lain di jalan raya. Bagi menjaga maslahah semua pihak dan mengelak daripada berlakunya keburukan di muka bumi ini, Allah telah mensyariatkan pengharaman arak.

Daripada contoh di atas jelas bahawa matlamat atau objektif akhir pensyariatan pengharaman arak adalah untuk mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan (jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid) melalui cara menjaga akal manusia.

Unsur Maqasid dalam al-Quran berkaitan muamalat

Hukum-hakam muamalat tidak diberi secara terperinci baik dalam al-Quran atau al-Hadis. Ini kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hajat dan keperluan manusia di muka bumi ini sentiasa berubah dan berbeza mengikut perubahan zaman dan tempat. Dalam bab muamalat, jual beli pada zaman dahulu, kebanyakan urusniaga adalah berbentuk sistem pertukaran barang dengan barang (barter). Namun, berlaku perubahan di dunia hari ini dengan penggunaan melata mata wang negara masing-masing menjadi alat pertukaran (jual beli) dalam urusan harian. Perubahan amalan umum sebegini menjadi antara sebab hukum hakam muamalat tidak disyariatkan dalam bentuk yang terperinci tetapi hanya prinsip dan kaedah umum sahaja yang diberi sebagai panduan. Ia sangat berbeza dengan hukum-hakam ibadat yang mana semua bentuk ibadat seperti solat, puasa, umrah dan haji dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Meskipun hukum hakam atau  prinsip dan dasar muamalat dalam al-Quran dan Hadis hanyalah berbentuk prinsip umum sahaja tetapi ia tetap bertujuan untuk mendatangkan kebaikan dan mengelak daripada kerosakan. Sebagai contoh, antara prinsip penting dalam muamalat yang disebut dalam Surah al-Nisa’, ayat 29 adalah taradi (تراضي) iaitu saling bersetuju. Dalam ayat tersebut Allah SWT telah menetapkan bahawa pemilikan sesuatu harta hendaklah dilakukan dalam bentuk jual beli yang berasaskan kepada taradi iaitu kedua-dua pihak yang berjual beli saling bersetuju dengan transaksi yang mereka lakukan dan dilakukan dengan penuh kerelaan. Jadi, pensyariatan taradidalam transaksi jual beli yang merupakan kaedah pertukaran pemilikan harta yang paling masyhur adalah bertujuan untuk menjaga maslahah kedua-dua pihak yang berkontrak dan untuk mengelak kerosakan daripada menimpa mereka. Ini kerana konsep taradi ini dapat melindungi harta seseorang daripada diambil oleh orang lain secara batil (cara yang salah).

Contoh kedua prinsip muamalat yang umum sebagaimana di sebut di dalam al-Quran ialah pengharaman riba dan keharusan jual beli. Pengharaman riba biarpun dalam bentuk umum sahaja tetapi ia mengandungi elemen Maqasid al-Syariah iaitu untuk mengelak berlakunya kezaliman dan ketidakadilan dalam transaksi yang berlaku antara dua pihak yang berkontrak yang jika dibiarkan akan menjadi barah dalam masyarakat dan sistem ekonomi sesebuah negara. Kesemua tujuan tersebut adalah berpaksikan kepada jalb al-masalih wa dar’ al-mafasid yang menjadi tunjang pensyariatan hukum-hakam.

Sebagai rumusan, mana-mana kontrak muamalat yang dilakukan secara persetujuan dan kerelaan hati daripada kedua-dua pihak yang berkontrak sudahpun mengandungi elemen Maqasid al-Syariah. Dengan lain perkataan, setiap kontrak yang sempurna rukun dan syaratnya serta bebas daripada unsur riba, gharar (ketidakpastian) dan penipuan dan ia dilaksanakan berdasarkan taradi,  secara dasarnya ia telah merealisasikan Maqasid al-Syariah.

Pemerkasaan Maqasid al-Syariah dalam bentuk yang lebih berstruktur

Pada November 2023, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menerbitkan Garis Panduan Maqasid al-Syariah (Maqasid al-Shariah Guidance) yang mengandungi enam (6) aspirasi dan lima belas prinsip (rujuk Rajah 1). Kesemua aspirasi dan prinsip ini adalah terjemahan kepada Maqasid Syariah dalam bentuk yang lebih berstruktur untuk kewangan Islam.

Enam aspirasi tersebut adalah[1]:

  1. Kemanusiaan (Humanity)
  2. Adil dan ihsan (Justice and benevolence)
  3. Jelas dan telus (Clarity and transparency)
  4. Fleksibel dan berinovasi (Flexibility and innovation)
  5. Amanah dan bertanggungjawab (Fiduciary and accountability)
  6. Boleh dicapai dan rangkuman menyeluruh (Accessibility and inclusivity)

[1] Semasa penulisan ini dibuat, belum ada terjemahan rasmi daripada pihak Suruhanjaya Sekuriti. Oleh itu terjemahan dalam Bahasa Malaysia di atas adalah daripada penulis sendiri dan apabila telah ada terjemahan rasmi daripada pihak Suruhanjaya Sekuriti, maka terjemahan rasmi itulah yang terpakai.

Sementara lima belas prinsip pula adalah seperti berikut:

  1. Membudayakan pencapaian keperluan asas (Cultivating attainment of basic needs)
  2. Menunjukkan budaya sosial yang positif (Demonstrating positive social culture)
  3. Mengambil inisiatif dalam memelihara kesejahteraan generasi akan datang (Undertaking initiatives in preserving the well-being of future generations)
  4. Memupuk budaya beretika dan berpelajaran (Fostering ethical and learning culture)
  5. Meningkatkan kecekapan dan mengelak pembaziran (Promoting efficiency and avoiding wastage)
  6. Menjaga amalan terbaik, tatakelakuan dan nilai etika (Upholding best practices, code of conduct and ethical values)
  7. Memenuhi kesahihan dan objektif kontrak (Adhering to the validity and objective of contracts)
  8. Meningkatkan pendedahan dan dokumentasi (Enhancing disclosure and documentation)
  9. Memupuk inovasi melalui fleksibiliti dan dinamisme (Fostering innovation via flexibility and dynamism)
  10. Menghormati Kebebasan Berurusniaga (Honouring freedom of transaction and dealing)
  11. Menjaga tanggungjawab fidusiari dengan penuh keikhlasan (Upholding fiduciary duty with utmost good faith)
  12. Meningkatkan akauntabiliti dalam prestasi dan aktiviti (Promoting accountability in performance and activities)
  13. Meluaskan peredaran kekayaan dan penyertaan (Broadening circulation of wealth and participation)
  14. Memaksimumkan pengagihan kekayaan dengan fokus pada kewangan sosial (Maximising wealth distribution with focus on social finance)
  15. Menggalak perniagaan dengan ekosistem sokongan (Nurturing business with supportive ecosystem)

Rajah 1: Gambaran keseluruhan Garis Panduan Syariah Pasaran Modal Islam Malaysia.

Sumber: https://www.sc.com.my/api/documentms/download.ashx?id=3e10c1d3-823e-4dc3-b7ae-c3652104d2cf

Dengan adanya Garis Panduan Maqasid al-Syariah tersebut, adalah diharapkan pihak industri dapat melihat aspek praktikal yang lebih jelas untuk mengaplikasikan Maqasid al-Syariah dalam produk Pasaran Modal Islam khususnya dan dalam kewangan Islam umumnya.

Sebagai contoh, dalam memenuhi Aspirasi 3 iaitu “Jelas dan Telus” berasaskan Prinsip 7 iaitu “Memenuhi Kesahihan dan Objektif Kontrak”, pihak-pihak yang terlibat dalam penerbitan sukuk ketika menstrukturkan sukuk perlu memastikan segala rukun dan syarat bagi kontrak pendasar yang digunakan telah dipenuhi, segala ketetapan berkaitan aset pendasar dan harga belian (purchase price) dipatuhi, tujuan penggunaan dana sukuk hendaklah dipastikan patuh Syariah dan segala terma dan syarat serta apa-apa yang berkaitan dengan risiko didedahkan kepada pelabur agar mereka dapat maklumat yang tepat dan benar. Kesemua perkara tersebut adalah penting dalam memastikan segalanya dilakukan atas dasar taradi supaya dengan itu tercapailah Objektif Syariah iaitu mendatangkan kebaikan dan mengelak daripada keburukan.

Kesimpulan

Peranan semua pihak dalam memperkasakan Maqasid al-Syariah dalam produk dan perkhidmatan kewangan Islam adalah sangat penting dan perlu diberi perhatian serius. Adalah diharapkan Garispanduan Syariah yang diterbitkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti menjadi satu langkah permulaan kepada usaha untuk menterjemahkan Maqasid al-Syariah dalam bentuk yang lebih sistematik dan berstruktur bagi Pasaran Modal Islam secara khusus dan kewangan Islam secara amnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.