Konsep kelestarian dalam Islam dan pemerkasaannya dalam kewangan Islam
oleh Dr Shamsiah binti Mohamad
Pengenalan
Hasil pembangunan yang tidak terkawal serta pencemaran yang berlaku baik di darat, di lautan atau di udara telah memberi kesan yang signifikan kepada alam dan penghuninya. Perubahan cuaca merupakan antara yang boleh dilihat secara jelas mutakhir ini. Kejadian ribut taufan dan banjir besar semakin kerap berlaku termasuk di kawasan yang sebelumnya tidak pernah terjadi musibah seumpama itu. Situasi ini menimbulkan kebimbangan pada semua pihak kerana ia akan menjejaskan kelestarian ekonomi, sosial dan juga alam sekitar.
Mutakhir ini topik kelestarian atau sustainabiliti menjadi fokus utama perbincangan, seminar, mesyuarat atau latihan. Ini bertitik tolak daripada persidangan World Commision on Environment and Development (WCED), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah mengiktiraf idea kelestarian pada 1987. Idea kelestarian ini menetapkan bahawa faktor persekitaran, sosial, dan ekonomi adalah saling berkaitan dalam mencapai kelestarian.
Kelestarian, seperti yang ditakrifkan oleh PBB, merujuk kepada “memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri.”[1] Ia merangkumi faktor ekonomi, alam sekitar dan sosial, bertujuan untuk pembangunan yang seimbang dan saksama yang memastikan kebajikan jangka panjang semua pihak berkepentingan.
[1] Rujuk laman sesawang United Nations di https://www.un.org/en/academic-impact/sustainability
Konsep kelestarian menurut perspektif Islam
Pada hakikatnya, idea kelestarian ini adalah intipati ajaran Islam semenjak ia dibawa oleh Rasulullah SAW kepada umat manusia ribuan tahun dahulu. Kelestarian menurut perspektif Islam boleh dilihat melalui konsep “khalifah” yang menerangkan tugas utama manusia diutuskan ke muka bumi ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya: “Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman: “ Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
Apabila Allah telah memutuskan untuk melantik manusia sebagai khalifahNya di muka bumi, maka Allah telah menetapkan misi khusus yang perlu dipikul oleh manusia iaitu mengurus dan memakmurkan muka bumi ini mengikut syariatNya agar kesejahteraan dunia dan akhirat dapat dicapai. Kesejahteraan di dunia dan di akhirat merupakan objektif utama kelestarian dari perspektif Islam. Oleh itu pengurusan dan pemakmuran mukabumi ini berlandaskan syariat Allah merupakan jalan untuk mencapai kelestarian yang hakiki. Oleh itu, idea kelestarian dari perspektif Islam perlu merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan amalannya, serta sunnah oleh Nabi Muhammad.[2]
Atas dasar untuk merealisasikan kelestarian yang hakiki inilah, Allah telah menegaskan bahawa perutusan Rasulullah SAW tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membawa rahmat ke seluruh alam ini. Ini sebagaimana yang ditegaskan dalam firmanNya dalam Surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Menurut al-Jayyousi, kelestarian dari perspektif Islam adalah bertunjangkan kepada empat prinsip utama iaitu keadilan (al-`adl), kecemerlangan (al-ihsan), nilai sosial (al-arham) dan tidak melakukan kerosakan (dar’ al-mafasid)[3] sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 1. Prinsip-prinsip utama kelestarian ini adalah bersumberkan firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 90 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
[2] Baharuddin, A. (2017). Science For Sustainable Development. In Institute of Islamic Understanding (Ed.), Science For Sustainable Development (1st ed., pp. 11–37). Kuala Lumpur. Dipetik daripada Hashim,S. & Abdullah,A. (2020). Konsep Kelestarian Dari Perspektif Islam Berbanding Pendekatan Moden Dalam Melestarikan Negara. Dalam Institut Perakaunan Negara, IPN Journal of Research and Practice in Public Sector Accounting and Management (Vol. 10, No.1, hal. 79-95). Kuala Lumpur.
[3]Al-Jayyousi, O. R. (2012). Islam and Sustainable Development: New Worldviews. Surrey, England: GOWER. Dipetik daripada Hashim,S. & Abdullah,A. (2020). Konsep Kelestarian Dari Perspektif Islam Berbanding Pendekatan Moden Dalam Melestarikan Negara. Dalam Institut Perakaunan Negara, IPN Journal of Research and Practice in Public Sector Accounting and Management (Vol. 10, No.1, hal. 79-95). Kuala Lumpur.
Satu perkara yang perlu kita ambil perhatian adalah kelestarian sebenarnya menjadi maksud utama dalam Maqasid Syariah. Ini kerana apa yang ingin dicapai melalui sistem dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Syariah adalah kesejahteraan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Pencapaian kesejahteraan tersebut adalah berpaksikan kepada pemeliharaan al-daruriyyah al-khamsah (lima keutamaan) iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, konsep kelestarian dalam Islam lebih komprehensif berbanding dengan konsep kelestarian yang diperkenalkan oleh pihak barat.
Sebagai rumusan, konsep kelestarian dari perspektif Islam boleh digambarkan dalam Rajah 2 berikut:
Memperkasakan kelestarian dalam kewangan Islam
Dalam konteks kewangan, kelestarian telah mendapat perhatian penting sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila individu dan institusi di seluruh dunia berusaha untuk menggalakkan amalan kewangan yang bertanggungjawab dan beretika.
Sementara dalam konteks kewangan Islam pula, sememangnya ia beroperasi berdasarkan prinsip yang bersumberkan daripada Syariah. Dari segi Syariah, riba, ketidakpastian (gharar), pelaburan dalam aktiviti yang tidak patuh Syariah seperti perjudian, serta sebarang bentuk eksploitasi atau ketidakadilan adalah dilarang sama sekali. Ini bermakna, secara dasarnya kewangan Islam sudah mengambil kira konsep kelestarian dalam operasinya.
Namun begitu, kewangan Islam masih perlu memperkasakan lagi pelaksanaan agenda kelestarian ini. Antara strategi yang boleh dilakukan dalam memperkasakan lagi agenda kelestarian dalam kewangan Islam adalah seperti berikut:
- Mempromosi dan Memberi Galakan Berterusan Tentang Pelaburan Bertanggungjawab Sosial Islam (SRI)
Kewangan Islam hendaklah memberikan tumpuan kepada strategi untuk memasukkan pelaburan beretika dan bertanggungjawab sosial ke dalam portfolio mereka, seperti melabur dalam industri yang patuh Syariah (contohnya industri tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), penjagaan kesihatan dan pendidikan) dan mengelakkan daripada industri tidak patuh Syariah seperti industri arak dan perjudian.
- Membangunkan Sukuk Hijau (Green Sukuk)
Sukuk Hijau ialah instrumen kewangan pendapatan tetap yang dikeluarkan khusus untuk membiayai projek mesra alam. Kewangan Islam boleh menawarkan Sukuk Hijau yang mematuhi prinsip Syariah, membolehkan pelabur menyokong projek yang mampan sambil kekal mematuhi garis panduan Islam.
- Galakan Zakat dan Wakaf Untuk Pembangunan Lestari
Zakat yang merupakan salah satu rukun Islam, mewajibkan umat Islam menyumbang sebahagian daripada harta mereka untuk membantu mereka yang memerlukan. Kewangan Islam boleh menggalakkan penggunaan zakat untuk menangani isu kelestarian seperti pembasmian kemiskinan, akses kepada air bersih, pendidikan, dan penjagaan kesihatan. Perkara yang sama juga boleh dilakukan dengan menggunakan konsep wakaf.
- Menggalakkan Program Pembiayaan Mikro Islam
Pembiayaan mikro Islam menyediakan perkhidmatan kewangan kepada individu dan perusahaan mikro berpendapatan rendah berdasarkan prinsip Islam. Program ini boleh direka bentuk untuk menyokong mata pencarian yang lestari, perniagaan mesra alam dan menggalakkan pemerkasaan ekonomi dalam komuniti terpinggir.
- Mengamalkan Ketelusan dan Kelakuan Beretika
Institusi kewangan Islam hendaklah memberi penekanan yang berterusan terhadap ketelusan dalam operasi mereka, memastikan pelaburan dan aktiviti pembiayaan mereka dijalankan secara beretika dan mematuhi prinsip Islam. Mekanisme audit dan pelaporan berkala yang sistematik perlu dilaksanakan bagi membolehkan pihak berkepentingan mendapat melihat dengan jelas kesan sosial dan alam sekitar daripada pelaburan yang dilakukan.
- Kerjasama dan Pendidikan
Menggalakkan kerjasama antara institusi kewangan Islam, para sarjana terutama pakar Syariah dan pihak berkepentingan adalah penting untuk meningkatkan kelestarian dalam kewangan Islam. Selain itu, mendidik pelanggan, pelabur dan komuniti yang lebih luas tentang kepentingan kelestarian dan penyelarasannya dengan prinsip Islam boleh membantu memacu perubahan dan meningkatkan kesedaran.
- Mewujudkan Rangka Kerja Kelestarian Untuk Kewangan Islam yang Komprehensif
Rangka kerja kelestarian untuk kewangan Islam yang komprehensif amat penting bagi memberi panduan kepada institusi kewangan Islam dalam melaksana dan memperkasa agenda kelestarian dalam perkhidmatan dan produknya. Ia juga penting bagi memantau pencapaian agenda kelestarian yang ditetapkan dalam tempoh-tempoh tertentu oleh pihak pengawal selia kewangan Islam.
Ringkasan strategi dalam memperkasakan kelestarian dalam kewangan Islam ditunjukkan dalam Rajah 3:
Langkah-langkah untuk memperkasakan kelestarian dalam kewangan Islam seperti yang dicadangkan di atas, jika digabungkan dengan penyelidikan dan inovasi yang berterusan, ia boleh menyumbang kepada pertumbuhan kewangan Islam yang lestari dan mewujudkan impak positif kepada masyarakat, alam sekitar dan ekonomi.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, penumpuan kepada agenda memperkasakan kelestarian dalam kewangan Islam boleh mewujudkan satu kuasa yang kuat untuk menuju ke arah perubahan yang positif. Melalui amalan pelaburan dan pembiayaan yang beretika serta penekanan nilai-nilai murni dalam operasi dan produk kewangan Islam, maka setiap individu dan institusi boleh berusaha ke arah masa depan yang lestari, seterusnya membawa kesejahteraan kepada manusia dan alam ini berdasarkan prinsip-prinsip Syariah.
Kejayaan untuk memperkasakan agenda kelestarian dalam kewangan Islam sangat bergantung kepada kerjasama sama semua pihak berkepentingan baik dalaman atau luaran. Malah keterlibatan ahli Jawatankuasa Syariah di institusi kewangan Islam secara serius adalah menjadi tulang belakang dalam memperkasa agenda kelestarian ini.
Leave a Reply